bismillahirrahmanirrahim
Hidup di bawah bayangan al-Quran adalah satu kenikmatan yang tidak dapat diketahui melainkan hanya oleh mereka yang mengecapinya sahaja. Ia adalah satu kenikmatan yang meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang.
Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah yang telah mengurniakan kepadaku kenikmatan di bawah bayangan al-Quran selama beberapa waktu, di mana aku telah mengecapi nikmat yang tidak pernah aku kecapi sepanjang hidupku, iaitu nikmat yang meluhur, memberkati dan membersihkan usiaku.
Aku hidup seoah-olah mendengar Allah bercakap kepadaku dengan al-Quran ini…ya Dia bercakap kepadaku seorang hamba yang amat kerdil dan amat kecil. Manakah penghormatan yang dapat dicapai oleh seseorang lebih tinggi dari penghormatan Ilahi yang amat besar ini. Manakah keluhuran usia yang lebih tinggi dari keluhuran usia yang diangkatkan oleh kitab suci ini? MAnakah darjah kemuliaan bagi seseorang yang lebih tinggi dari darjah kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah Pencipta Yang Maha Mulia?
Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku melihat jahiliyah berkecamuk di muka bumi ini dan aku melihat minat dan cita-cita penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil, aku melihat pemuda-pemuda jahiliyah itu berbangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan seorang kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak. Aku merasa kaget dan hairan mengapa manusia jadi begini, mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang kotor dan penuh penyakit ini? Mengapa mereka tidak mendengar seruan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar, iaitu seruan yang meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang?
Aku telah hidup bi bawah bayangan al-Quran dan di sana aku dapat menikmati kefahaman yang sempurna dan meliputi, tanggapan yang tinggi dan bersih terhadap alam al-wujud, terhadap seluruh alam al-wujud dan terhadap kewujudan manusia itu sendiri. Kemudian aku bandingkan dengan kefahaman-kefahaman dan tanggapan jahiliyah yang dihayati oleh umat manusia di Timur dan Barat, di Utara dan Selatan. Kemudian aku bertanya; mengapa manusia sanggup hidup dalam paya yang busuk, di tahap yang amat rendah dan di dalm gelap gelita kesesatan yang menghitam itu, sedangkan mereka mempunyai padang-padang yang bersih, tempat-tempat yang tinggi dan cahaya yang terang-benderang?
(Petikan daripada Muqaddimah Tafsir Fi Zilalil Quran oleh Syed Qutb)
Di manakah al-Quran anda sekarang ini? Sudahkah anda membaca al-Quran walaupun satu ayat pada hari ini? Adakah anda telah mendalami dan menghayati setiap ayat di dalam al-Quran? Adakah anda mengamalkan setiap suruhan Allah dan meninggalkan setiap larangan Allah yang terkandung di dalam al-Quran? Subhanallah betapa Allah amat menyayangi kita. Allah tidak pernah meninggalkan kita, malah Dia kurniakan al-Quran untuk dijadikan manual hidup kita.
Wahai manusia! Sungguh telah datang kepadamu pelajaran ( al-Quran) dari Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada, dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman. (10:57)
Hidup di bawah bayangan al-Quran hanya dapat dirasai setelah kita hayati setiap ayat dalam al-Quran. Dan pemahaman ini juga dikurniakan Allah ke dalam hati kita. Al-Quran tidak dibaca dengan akal semata-mata, tapi ia perlu dibaca dengan hati, menarikkan? Betapa nikmat Allah untuk kita tersangat-sangatlah banyak. Membaca dan menghayati dan beramal dengan al-Quran adalah tiga perkara yang berbeza, tapi setiap satu adalah pelengkap bagi yang lain.
Percayalah, hidup di bawah bayangan al-quran menjadikan hidup setiap manusia itu lebih sempurna. Siapalah aku untuk membicarakan soal ini, namun perasaan furqan itu memang sangat-sangat indah. Aku sangat bersyukur Allah telah memberikan aku peluang untuk merasai nikmat itu, aku dapat melihat dunia ini lebih indah-fizikal dunia itu mungkin sama namun ruh menjadi lebih bermakna setelah Allah berikan hidayah untuk memahami al-Quran. Setiap penciptaan-Nya mempunyai nilai yang sangat tinggi. Terlalu banyak perasan yang indah yang tidak dapat dizahirkan namun Allah mengetahui segala isi hati.
Baca, hayati dan beramalah dengan al-Quran. Sediakan hati yang inginkan bayangan al-Quran , hati yang sentiasa mendambakan hidayah dari Allah, hati yang bersih dari dosa, sesungguhnya Allah jua yang memegang hati setiap manusia (8:107, 67:13-14)
Ya Allah, jangan engkau palingkan hatiku dari hidayah-Mu, jadikan hatiku hati yang sentiasa mengingati-Mu, hati yang sentiasa mendambakan cinta-Mu, yang yang sentiasa bersyukur dan matikanlah pemilik hati ini sebagai syuhada’ yang berjuang di jalan-Mu
Semoga Allah permudahkan segala urusan kita di dunia yang teramat singkat ini..Amin.